Thursday, July 2, 2009

"Kontroversi jalan masuk kuil di Taman Desa Indah selesai"



NILAI 1 Julai - Tidak sampai seminggu selepas bantahan para penduduk disiarkan akhbar ini pada 25 Jun lalu, kontroversi 'kemunculan tiba-tiba' sebuah jalan masuk baru ke sebuah kuil yang dibina di tengah-tengah Taman Desa Indah di sini, akhirnya selesai hari ini.

Ini berikutan tindakan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) mengarahkan syarikat pemaju, BBN Development Sdn. Bhd. menutup jalan tersebut dan membina jalan baru di lokasi laluan asal ke kuil tersebut.

Tindakan segera MPN dan persetujuan BBN Development itu dicapai selepas campur tangan Pengerusi MIC negeri, Datuk T. Rajagopalu susulan perjumpaan beliau dengan jawatankuasa kuil berkenaan semalam dan juga pertemuan dengan para penduduk hari ini.

Malah, tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati pihak pemaju dengan serta-merta telah pun memulakan pembinaan jalan baru di laluan asal ke kuil berkenaan menggantikan 'jalan kontroversi' itu.

Dalam pertemuan dengan kira-kira 30 wakil penduduk di sebuah rumah di taman tersebut pagi ini, Rajagopalu memberitahu, pembinaan jalan baru di laluan asal ke Kuil Devi Sri Mariamman dijangka mengambil masa kira-kira sebulan.

Menurutnya, selepas itu jalan masuk sekarang yang menjadi kontroversi dan dibantah oleh para penduduk akan ditutup.

"Kita tidak salahkan penduduk kerana buat bantahan malah kita berterima kasih kepada Utusan Malaysia yang menyiarkannya sehingga mencetuskan penyelesaian pada hari ini.

"Saya juga telah berunding dengan pihak Kuil Devi Sri Mariamman, mereka bersetuju malah tiada masalah tentang penutupan jalan masuk sekarang lebih-lebih lagi ia menuruni bukit curam dan berbahaya kepada penduduk dan lalu lintas di dalam Taman Desa Indah ini.

"Oleh itu, saya harap tuan-tuan (para penduduk) bersabar untuk tempoh sebulan ini bagi membolehkan jalan baru ke kuil berkenaan iaitu di lokasi lama disiapkan pemaju," katanya.

Perjumpaan antara Rajagopalu dengan wakil penduduk penduduk itu turut dihadiri Pengerusi Kuil Devi Sri Mariamman, M. Arumugam dan beberapa ahli majlis MPN.

Pada 25 Jun lalu, Utusan Malaysia menyiarkan bantahan hampir 2,000 penduduk Desa Indah terhadap pembinaan jalan masuk baru ke rumah ibadat itu yang melalui tengah-tengah kawasan perumahan berkenaan.

Menurut mereka, pembinaan jalan baru sepanjang kira-kira 100 meter tersebut tidak sepatutnya dilakukan sebaliknya pihak pemaju, BBN Development Sdn. Bhd. seharusnya mengekalkan laluan masuk sedia ada ke kuil itu.

Ini kerana jalan baru itu bukan saja mengganggu lalu lintas di kawasan taman tersebut dan mengancam keselamatan penduduk malah tiada dalam pelan pembangunan ketika mereka membeli rumah di situ.

Lokasi dan struktur jalan baru itu yang dibina bermula dari satu selekoh di jalan utama dalam taman tersebut dan menaiki bukit curam menuju kuil berkenaan benar-benar berbahaya kepada penduduk.

Malah, simpang masuk ke jalan baru itu betul-betul berhampiran dengan taman permainan kanak-kanak.

Rajagopalu menambah, selain menutup jalan yang dibantah oleh penduduk itu, beliau juga mendapat persetujuan pihak MPN untuk dibina bonggol tidak jauh dari laluan berkenaan dan taman permainan kanak-kanak berhampiran bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

"Saya difahamkan baru-baru ini telah berlaku kemalangan berdekatan jalan yang dibantah itu. Jadi saya telah minta MPN bina dua bonggol di hadapan taman permainan kanak-kanak yang dekat dengan jalan itu," katanya.Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment